Followers


Daisypath Anniversary tickers

KENANGAN 2011

Apa yang aku nak kongsi bersama adalah pengalaman pertama aku jadi penghuni hospital bukan kerana melahirkan anak. Sebenarnya apa yang berlaku adalah satu keajaiban dan kasih sayang yang Allah tunjukkan kepada aku. Seperti biasa tiap-tiap tahun aku akan menjalani pemeriksaan pap smear. Ya, memang kebanyakkan wanita berkahwin memang patut menjalani pemeriksaan ini. Tapi kebanyakkan wanita tidak mahu kerana pertama, mereka malu dan kedua ada yang tidak sanggup menerima keputusan ujian yang telah di lakukan.

Apa pap smear? Sebenarnya aku pun tidak suka bercerita secara umum apa sebenarnya pap smear kerana ia melibat kan tentang hak yang terlalu peribadi untuk di ceritakan. Tapi hari ini, aku buang perasaan malu aku sebab aku mahu anda wanita dan juga suami-suami di luar sana tahu betapa penting nya menjalani ujian tersebut.

Kisah ku bermula bila aku membuat ujian pap smear pada hujung tahun lepas iaitu 15 Disember 2010. Seminggu selepas membuat ujian tersebut, tiba masa nya aku perlu mengambil result nya. Seperti biasa aku confident "nothing happen" bila doktor Aminah di hospital Normah itu mempersilakan aku duduk. Tanpa rasa takut atau nak fikir yang buruk aku pun duduk sambil menunggu doktor itu explain tentang keputusan ujian ku. Tapi telahan ku meleset. Keputusan doktor Aminah agak memeranjat kan ku. "Puan Yusnaini, hasil keputusan ujian pap smear puan menunjukkan bahawa pangkal rahim puan ada menunjukkan tanda abnormal. Maksudnya pangkal rahim puan ada sedikit tidak normal dari biasa. Ianya di panggil Cervical Intraepithelial Neoplasia (CN I). Puan jangan bimbang, sebab ini bukan kanser tapi Pra Kanser. Puan boleh rujuk kepada pakar gynae kami, untuk penjelasan lebih lanjut.  Aku pergi ground floor dan menunggu nama di panggil untuk berjumpa dengan pakar gynae tersebut.







Penerangan dari Doktor Suria, agak menyenangkan sikit jiwa raga ku.  Dia menjelaskan bahawa CN1 adalah  tanda awal kemungkinan untuk menjadi kanser tetapi aku bernasib baik sebab telah dapat di kesan lebih awal.  "puan jangan tidak tidur malam pula" kata doktor Suria lagi... Aku cuma dapat senyum.  Dapat tidurkah atau tidak, itu belum dapat ku fikirkan lagi.  Doktor Suria menjelaskan, Cervical Intraepithelial Neoplasia ada 4 peringkat sebelum menjadi kanser. Tetapi satu peringkat ke peringkat yang selanjutnya mengambil masa 10 ataupun 15 tahun.  Lega sedikit hati ku.

Pada 21 Januari 2011, aku pergi ke C.M Wong Specialist Clinic for Woman.  Di sana aku menjalani satu lagi ujian iaitu Colposcopy iaitu mengambil sedikit daging di bahagian pangkal rahim untuk di hantar ke makmal  bagi mengesahkan lagi jangkitan yang ada di rahim ku ini.  Seperti biasa, seminggu kemudian aku datang untuk mengambil keputusan dan Doktor Wong pun memberitahu perkara yang sama kepada aku cuma dia menyarankan dan menasihatkan aku supaya terus pergi ke Poliklinik untuk membuat temujanji ke Klinik Pakar Sakit Puan di Hospital Umum.

Dengan keadaan masa yang agak singkat.  Aku bernasib baik kerana boss tidak ada di pejabat.  Masa itu aku gunakan dengan sebaik mungkin melaporkan diri pergi ke Poliklinik dan setelah hampir sejam menanti, maka nombor aku pun tertera di bahagian nombor yang berbunyi TING TONG itu.  Doktor berbangsa India itu, aku tidak ingat nama nya, telah membuat temujanji aku ke doktor pakar pada 30 Januari 2011.  Dan dari saat itu, aku menjadi semakin tidak sabar untuk menghadiri temujanji tersebut.

30 Januari akhirnya datang juga.  Seawal 1 petang aku sudah terconggok di bahagian pendaftaran di Hospital Umum Sarawak walaupun temujanji ku bermula pukul 2 petang.  Akhir nya saat untuk ku berjumpa dengan doktor pakar tersebut pun tiba juga.  Selepas pemeriksaan dilakukan, dia telah meletakkan satu tarikh iaitu 18 Mei untuk admit hospital dan 19 Mei untuk menjalankan operasi.  Ahhh aku pun tidak tahu dan tidak dapat bayangkan bagaiman operasi tersebut di jalankan.  Aku pasrah segala-galanya kepada Allah.  

Tetapi pada 9 Mei aku menerima satu panggilan daripada Doktor Sim, doktor pakar gynae dari Hospital Umum. Beliau menyatakan bahawa aku di kehendaki menjalankan operasi tersebut lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.  Maksudnya beliau memberitahu bahawa aku perlu admit ke hospital pada hari Jumaat 13 Mei dan menjalankan operasi keesokkan hari nya.  Wahhhhh automatik aku nervous.... Allah sahaja yang tahu aku nervous.... rasa nak nangis, rasa nak ke tandas, nak muntah semua ada.  Jantung pula automatik terus dup dap dup dap... Air mata hampir nak  menitis. Ya Allah... Ya Allah permudahkanlah urusan ku.

13 Mei sudah datang, sudah menjenguk.  Aku sempat breakfast dengan anak-anak dan mak di McD  sebelum checked in ke Hospital.  Setelah menghantar anak ku yang sulong ke sekolah, maka perjalanan pun di teruskan ke tempat yang di tuju.  Umpama bagaikan mereka yang sihat menghantar diri pergi ke tempat yang sakit.  Dengan segar bugarnya aku mengangkut beg pakaian dan semua keperluan aku pergi ke tingkat 5, unit GINEKOLOGI.  Menyerahkan surat pendaftaran yang aku dapat dari kaunter pendaftaran, menukar baju ku yang cantik ke baju seragam warna HIJAU, maka officially lah aku jadi warga hospital unit gynae pada hari tersebut.

Allah sangat menyayangi ku, satu lagi ujian terpaksa ku tempuhi bila berada di hospital.  Aku di dapati terkena  Darah Tinggi.  Nurse-nurse di sekitar sempat mengusik ku, "akak nervous ke?" aku tersenyum saja.  "Akak ada penyakit darah tinggi ke?" aku geleng kepala.  "Tetapi tekanan darah akak agak tinggi" kata nurse yang membuat pemeriksaan darah ku ini. 145/90 tinggi tu kata mereka lagi. Dua kali dalam kurungan (2 kali) mereka memeriksa darahku, memang confirm aku ada darah tinggi.  Tetapi aku tetap tidak percaya, aku anggap diriku mungkin nervous, mungkin baru lepas berjalan naik lif dan menuju ke unit tersebut yang membuat tekanan darah ku jadi tidak normal.

Katil no 7, itu lah katil tempat ku beristirehat.  Pukul 9 aku di interview oleh seorang doktor muda, kalau tidak silap aku Faiz namanya.  Asal Kedah (aku sempat interview balik doktor tu :D)  Habis interview apa semua, aku dibiarkan rehat.  Aku buka novel cuba nak membaca, tapi memang tidak dapat nak konsentrat.  Jiran sebelah katil ku dah admit sejak 9 hb lagi.  Iban dari Sri Aman.  Kami berdua cuma sempat tersenyum.  Tegur guna kepala, angguk-angguk gitu aja. Dia memang kelihatan lemah.  Aku tidak tahu apa penyakit nya. Cuma aku hairan kenapa doktor tidak benarkan dia makan.  Dia cuma di beri minum air susu sahaja.   Aku belum ada masa nak ramah tamah.

Rutin biasa para nurse, memang lah membuat pemeriksaan kalau sudah tiba masanya.  Apa yang memeranjatkan aku, tekanan darah tinggi ku semakin melonjak.  Kalau tadi 145/90 sekarang menjadi 150/100.   Aihhhhh aku jadi hairan, mengapa tekanan darah ku semakin menaik.  Aku tidak nervous, aku tidak takut, aku dah bersedia untuk menghadapi operasi ku esok hari.  Tapi mengapa mesti darah ku semakin naik.  Bukan sedikit bimbang ku terkeluar.  Setiap solat meminta Allah tolong permudahkan urusan ku dan merendahkan tekanan darahku kerana aku tidak mahu operasi ku di tangguhkan.  Kalau di tangguhkan bermakna aku terpaksa tinggal SATU MALAM LAGI di hotel yang semua orang tidak suka pergi itu.

Aku di kehendaki berpuasa pukul 2 pagi. Tangan di sebelah kiri sudah di cucuk dengan jarum untuk menambah air.  Sakit nya adoiiiii, bukan main.  Panjang jarum itu membuat aku berasa sakit di pergelangan tangan ku sekiranya aku meluruskan jari-jari ku.   Tekanan darah semakin tinggi bukan semakin rendah.  155/104, akhirnya aku di beri 2 biji pil darah tinggi untuk merendahkan tekanan darah ku.  Apabila pemeriksaan darah ku di lakukan sekali lagi, sekurang-kurangnya ada perubahan sedikit walaupun tidak lama.  Suami dan anak-anakku ada menjenguk.  Memang aku mahu suami ku datang menjenguk ku sebelum operasi.  

2 orang nurse datang dengan sebuah katil.  Mereka bertanya siapa nama akak? Aku jawab Yusnaini Serojai. Ok, akak tukar baju sekarang dan kita akan bawa akak pergi ke dewan pembedahan.  Jadi aku pun di bawa pergi ke dewan bedah dengan baring di atas katil.  Kami masuk lif pergi ke tingkat 3 dan dari kejauhan sudah ku merasa betapa sejuk nya ruang di situ.  Ya, that is the first time aku masuk dewan bedah, ya, that is the first time aku tengok ruang nya yang sangat besar.  Satu doktor datang, tanya nama, aku jawab seperti biasa. Selama 15 minit aku dibiar seorang di sana menunggu giliran untuk masuk ke dewan bedah.  Tidak lama kemudian, aku melihat seorang doktor menyorong katil yang ada pesakit dari arah sebelah kiri ruang tersebut.  Tidak lama lepas itu, katil aku pula yang di sorong menuju ke destinasi yang di sebut DEWAN BEDAH!!!

Mata sempat melihat keliling walaupun dalam keadaan mata yang rabun.  Ada lampu besar di atas, ada monitor di tepi.  Tidak lama lepas itu, masuk dua orang doktor perempuan dan seorang kakitangan lelaki datang menghampiri aku.  Seorang doktor perempuan bertanya nama sekali lagi dan aku jawab sekali YUSNAINI.  Baiklah Yusnaini dia bilang, baca BISMILLAH DAN MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH.  Aku membaca dan mengucap cuma di dalam hati.  Dan aku tidak mahu percaya yang bius itu akan membuat aku tidak sedar diri.  Ucapan Laillahaillah aku rasa, aku ucapkan lebih dari 5 kali. Aku bercakap sendiri, tengok aku masih sedar.  Aku masih dapat mendengar kamu bercerita.  Tapi akhir nya aku kalah oleh perubatan moden yang bernama BIUS itu.  Aku dah tak sedar apa yang mereka lakukan kepada ku.  Alih-alih, aku terdengar nama ku dipanggil.  Dalam keadaan yang masih mamai, aku menyahut panggilan mereka.  Aku buka mata, aku tengok keliling, sudah kah? kenapa tidak ada rasa sakit? Aku pejam mata dan aku buka lagi. Tempat itu tidak sama seperti ruangan tadi.  Sah, memang sudah selesai segala urusan ku.  Rupa-rupanya aku sudah tidak sedar hampir 1 jam dan operasi ku berjalan dengan lancar.  Alhamdulillah.

Kedatangan ku ke katil no 7 itu, ditunggu oleh suami dan 2 orang anak ku.  Badan masih lemah, mata masih nak pejam aja.  Hampir setengah jam baring barulah aku dapat duduk dan makan makanan yang dihidangkan oleh pihak hospital.  Ya hampir 12 jam berpuasa, barulah aku dapat makan.  Mak dan bapak datang menjenguk ku.  Mak ku sempat interview suami jiran sebelah katil ku.  Jawab sang suami, isterinya kena buang "sarang anak".  Fahamlah aku, rahim isteri nya telah kena buang kerana sudah dijangkiti oleh kanser.  Kasihan.  Dari 9hb sehingga hari ku pulang 14hb dia belum boleh makan apa-apa.  Dia cuma boleh minum air susu sahaja.  

Pagi tadi, 16hb aku datang lagi ke hospital unit Ginekologi untuk mengambil surat SICK LEAVE ku.  Bila surat tersebut sudah di tangan ku, aku terkejut kerana di beri 2 minggu cuti sakit.  Ehhh, kenapa lama sangat? Akhir nya aku dan suami membuat kesimpulan, memang besar lah pembedahan secara elektif itu di buat ke atas ku.  Patut pun aku rasa agak nyeri sedikit di bahagian pangkal perut ku ini.  Walaubagaimana pun aku bersyukur semua nya berjalan dengan lancar.  Dengan prosedur yang macam-macam meminta aku tandantangan sana-sini takut berlaku apa-apa ke atas ku membuat aku ada perasaan sedikit cuak.  Tapi ya terima kasih Allah di atas segala-galanya.  6 minggu dari sekarang, aku akan menghadiri satu lagi temujanji selanjutnya untuk mempastikan segala-galanya sudah sembuh.

Sebab itulah adik kakak abang aku sarankan, check lah PAP SMEAR untuk keselamatan diri sendiri dan isteri anda.  Tidak susah, dan jangan ada rasa malu dan takut kerana semua nya tidak lama dan tidak sakit. Kita lakukan adalah untuk kebaikkan diri sendiri.  PAP SMEAR wajib di lakukan.   Lebih awal kita menjalan kan ujian tersebut, lebih cepat kita tahu sama ada kita ada risiko untuk dijangkiti atau tidak oleh kanser pangkal rahim.  Sayang suami , isteri, sayang anak-anak dan sayang mak bapak , adik adik dan semua keluarga.  Mereka pun tidak suka kita menghadapi penyakit yang sedemikian rupa.  Semoga pengalam ku ini sama-sama menjadi pengajaran kepada kita semua.  Sekarang target aku adalah untuk membuat tekanan darah ku kembali ke normal... Insyallah akan ku lakukan... aminnnnn





1 kamu yang sporting:

Alin Marlini berkata...

maaf saya bertanya...

sebelum tahu sakit puan tu...ada ke tanda2 sakit di bahagian bawah tu?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive